Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata suara tidak puas hati selepas proses penamaan calon bukan perkara luar biasa dalam politik.
Menurutnya, setiap parti besar pasti melalui keadaan sedemikian, termasuk apabila ada pihak yang kecewa, terkilan atau merasakan diri lebih layak dipilih.
“Namun, ukuran sebenar seorang pejuang bukan ketika namanya disebut, tetapi ketika namanya tidak dipilih,” katanya dalam kenyataan media bertajuk Kesetiaan, Disiplin dan Kekuatan Sebuah Perjuangan.
“Jawatan datang dan pergi. Peluang boleh berubah. Tetapi parti, prinsip dan amanah rakyat mesti kekal menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau juga berkata, keputusan calon bukan sekadar soal siapa yang mahu bertanding, tetapi siapa yang paling sesuai memikul amanah pada waktu dan medan yang diperlukan.
“Dalam politik, keberanian membuat keputusan sering lebih sukar daripada keberanian berucap di pentas,” katanya.
Azalina berkata perkembangan itu juga membuktikan UMNO tidak pernah ketandusan pemimpin.
“UMNO sentiasa mempunyai pelapis, pemimpin akar umbi, tokoh muda dan tenaga baharu yang menunggu masa untuk diberi amanah,”Ujarnya
Beliau berkata kekuatan UMNO sebagai sebuah parti institusi ialah parti itu tidak bergantung kepada seorang dua individu, sebaliknya berdiri atas kesinambungan perjuangan, pengalaman dan proses melahirkan kepimpinan.
“Rakyat memerhati bukan sahaja apa yang kita janjikan, tetapi bagaimana kita bertindak ketika diuji,” katanya.
Beliau menegaskan kesetiaan bukan kepada individu semata-mata, tetapi kepada perjuangan, parti, prinsip dan paling utama kepada rakyat yang telah memberikan amanah.
Azalina turut merakamkan tahniah kepada Onn Hafiz, UMNO Johor dan Barisan Nasional Johor.








