PUTRAJAYA — MyKad versi baharu yang dijangka diperkenalkan bulan depan akan dilengkapi 53 ciri keselamatan, berbanding hanya 23 ciri pada kad pengenalan sedia ada.
Menurut Buletin TV3, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias berkata, antara ciri keselamatan baharu yang diperkenalkan termasuk turihan laser, ultraungu, hologram, guilloche, teks mikro, kod respons pantas (QR) bagi tujuan penguatkuasaan serta cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkatkan.
Beliau berkata , MyKad baharu itu menawarkan tahap keselamatan lebih tinggi berbanding versi semasa.
“Pelancaran akan diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri apabila tiba masanya dan di peringkat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kita telah bersedia untuk tujuan tersebut,” katanya kepada media selepas Majlis Temu Mesra Pengurusan JPN Bersama Media di Putrajaya, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa MyKad versi baharu itu tidak akan dilengkapi dengan elemen Touch ‘N Go.
Katanya, pelaksanaan MyKad baharu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keselamatan identiti rakyat sejajar dengan perkembangan teknologi serta cabaran keselamatan semasa.







