Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa konflik antara Amerika Syarikat dan Iran memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat Malaysia, khususnya dari segi harga minyak, kos pengangkutan dan harga barangan.
Menurutnya, perkara itu dibangkitkan dalam BN Forum Siri Ke-10 yang berlangsung di Menara Dato’ Onn, yang membincangkan implikasi konflik geopolitik tersebut terhadap negara.
Zahid berkata dunia kini semakin saling berkait, menyebabkan sebarang konflik antarabangsa turut memberi tempias kepada ekonomi domestik walaupun berlaku jauh dari rantau ini.
“Saya bersetuju dengan pandangan panelis bahawa Malaysia perlu mengekalkan pendirian jelas tanpa terlalu berpihak kepada mana-mana kuasa besar dalam situasi tersebut, ”
“Konflik seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana akhirnya rakyat yang akan menanggung kesannya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa dalam keadaan global yang tidak menentu, kekuatan Malaysia perlu berasaskan kestabilan, dasar yang jelas serta keupayaan membuat keputusan secara bijaksana.
Zahid turut merakamkan penghargaan kepada panelis dan penganjur forum kerana menyediakan ruang wacana bagi meningkatkan kefahaman mengenai dinamika geopolitik serta implikasinya terhadap ekonomi dan masa depan negara.








