Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, menggesa hukuman mati dikenakan terhadap individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.
Dalam satu kenyataan di media sosial, beliau menyifatkan perbuatan memandu dalam keadaan mabuk sebagai tindakan yang seolah-olah disengajakan untuk membunuh, kerana risiko tinggi terhadap nyawa orang lain.
“Nak mabuk, mabuklah sorang-sorang. Nak minum satu lori sampai pecah perut terkeluar usus pun takpa. Tak ada siapa kisah. Susah sorang-sorang, sakit sorang-sorang, mati sorang-sorang.
“Masalahnya, dahlah mabuk, memandu pulak. Langgar orang, mati.
“Bila kamu mabuk, kamu memandu, maksudnya kamu sengaja nak jadi pembunuh!” katanya.
Menurutnya, tindakan mabuk dan melanggar orang sehingga menyebabkan kematian boleh dianggap seperti membunuh individu yang tidak bersalah.
Beliau turut menjelaskan bahawa dalam undang-undang Islam, hukuman qisas boleh dikenakan terhadap kesalahan membunuh, namun terdapat ruang untuk kemaafan oleh keluarga mangsa.
“Jika pihak keluarga memberi maaf kepada pembunuh, maka pembunuh wajib membayar ‘diyat’ (denda) kepada keluarga mangsa serta menjalani hukuman penjara.
“Namun dalam undang-undang Islam, hakim dan keluarga ada hak masing-masing. Hakim membicarakan kes, keluarga ada hak untuk memberi maaf atau tidak. Jika dimaafkan, tidak dikenakan hukuman bunuh balas, hanya bayar denda dan penjara. Jika tidak dimaafkan, maka bunuh balas. Nyawa diganti nyawa. Ini kaedah Islam. Adil. ,” katanya.
Sehubungan itu, Afnan berpandangan sudah tiba masanya hukuman mati dilaksanakan terhadap pesalah yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga meragut nyawa.
“Sudah sampai masa, orang yang mabuk, memandu, langgar orang sampai mati, patut dihukum mati. Titik,” katanya.








