Penasihat DAP, Lim Guan Eng menegaskan beliau telah menggunakan semua saluran dalaman parti dan kerajaan negeri sebelum membawa isu kenaikan cukai tanah di Pulau Pinang ke pengetahuan umum.
Menurut Malaysia Gazette, Ahli Parlimen Bagan itu, langkah berkenaan diambil susulan cadangan kenaikan cukai tanah yang dibangkitkan sejak tahun lalu, namun tidak mencapai penyelesaian sehingga memaksanya bersuara secara terbuka.
Kenyataan tersebut hadir selepas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegur agar perbezaan pandangan diselesaikan secara dalaman serta menghentikan perbalahan terbuka.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu bagaimanapun memaklumkan beliau akan menghentikan sementara semua kenyataan awam selepas satu pertemuan diatur antara beliau dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bagi mencari jalan penyelesaian.
“Saya menghargai usaha tersebut bagi mencari penyelesaian yang memuaskan berhubung kenaikan cukai tanah termasuk kes tertentu yang meningkat lebih 3,000 kali ganda,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa sehingga pertemuan itu berlangsung, beliau tidak akan mengadakan sidang media atau mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut termasuk berkaitan aduan pemilik tanah yang terjejas.
Dalam pada itu, Guan Eng memberi jaminan bahawa pejabat Parlimen di Bagan serta pejabat DUN Air Putih akan terus membantu pemilik tanah membuat rayuan terhadap kenaikan tersebut.
Katanya, setakat ini kira-kira 800 pemilik tanah telah dibantu termasuk dalam urusan mengisi borang rayuan.
Isu kenaikan cukai tanah di Pulau Pinang terus mencetuskan perhatian apabila melibatkan peningkatan mendadak yang memberi kesan kepada pemilik hartanah di negeri itu.








