Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung saman RM1.9 juta terhadap bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Permohonan itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan pada Januari lalu menolak rayuannya untuk menghidupkan semula saman berkenaan.
Dalam usul yang difailkan bulan lalu, pasukan peguam Najib daripada firma Tetuan Raj, Ong & Yudistra mengemukakan tiga persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Persoalan pertama ialah sama ada tuntutan sivil (tort) proses berniat jahat wajar diperkenalkan sebagai kausa tindakan di bawah undang-undang Malaysia, dan jika ya, apakah elemen serta skop bagi kausa tindakan ini?
Persoalan kedua sama ada seseorang peguam negara, berdasarkan kelakuannya sebelum pertuduhan dikemukakan terhadap tertuduh, kelakuan selepas pertuduhan dibuat, dan kelakuan selepas pegawai awam tersebut (dalam kes ini bekas peguam negara) meninggalkan jawatan, boleh dianggap (jika terbukti) sebagai tuntutan sivil proses berniat jahat?
Manakala persoalan terakhir sama ada tuntutan sivil salah laku dalam jawatan awam (misfeasance in public office), khususnya melibatkan tindakan peguam negara berkaitan kelakuannya sebelum, semasa, dan selepas memegang jawatan, adalah bergantung kepada keputusan pendakwaan jenayah tersebut?
Sementara itu, peguam Yudistra Darma Dorai dilaporkan berkata permohonan kebenaran merayu itu dijadualkan didengar pada 30 Julai ini.
Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib untuk menghidupkan semula saman tersebut, dengan panel tiga hakim memutuskan bahawa tindakan itu adalah pramatang walaupun tidak bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi berhubung isu imuniti peguam negara.








