Polis menahan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini kerana disyaki memuat naik serta menyebarkan kandungan di media sosial yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).
Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata lelaki itu ditahan awal pagi tadi di Kuantan bagi membantu siasatan. Menurut beliau, pihak polis akan memohon perintah reman ke atas suspek pada hari sama.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda jika sabit kesalahan. Selain itu, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar untuk menghantar komunikasi yang menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain, termasuk kandungan jelik.
Siasatan dibuat susulan kandungan provokatif tular di media sosial yang didakwa termasuk unsur menghina Nabi Muhammad. -Bernama








