KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri menggantung tugas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta-merta bagi membolehkan satu siasatan menyeluruh dijalankan berhubung pemilikan saham dan urus niaga perniagaannya.
Dalam satu kenyataan media bertarikh 10 Februari 2026, Rafizi berkata laporan media antarabangsa Bloomberg berhubung pemilikan saham Azam Baki telah mencetuskan persoalan serius berkaitan pematuhan peraturan penjawat awam dan integriti institusi SPRM.
Menurutnya, laporan itu mendedahkan pemilikan 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat tersenarai awam, Velocity Capital Partners Berhad, yang dianggarkan bernilai kira-kira RM180,000 berdasarkan harga semasa pasaran.
Rafizi mendakwa pemilikan tersebut berpotensi melanggar Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2002 yang menetapkan had pemilikan saham penjawat awam tidak melebihi RM100,000 dalam mana-mana syarikat.
Beliau turut membangkitkan isu urus niaga melibatkan beberapa syarikat yang didakwa mempunyai kaitan antara satu sama lain, termasuk MMAG Holdings Berhad dan NexG Berhad, yang menurutnya memerlukan penelitian lanjut bagi memastikan tiada konflik kepentingan.
Rafizi berkata rekod urus niaga saham pada Mac 2025 menunjukkan seorang individu yang dikaitkan dengan bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri menjadi pemegang saham besar dalam MMAG Holdings Berhad, melibatkan pembelian saham bernilai hampir RM185 juta.
Beliau turut mempersoalkan beberapa transaksi lain yang didakwa berlaku dalam tempoh hampir sama, termasuk perolehan pegangan saham utama oleh NexG Berhad serta kemenangan beberapa tender kerajaan bernilai lebih RM2.5 bilion antara Ogos hingga Oktober 2025.
Dalam kenyataan itu, Rafizi mengemukakan beberapa persoalan, antaranya bagaimana seorang penjawat awam kanan boleh memiliki pegangan saham signifikan dalam syarikat tersenarai awam serta sama ada pemilikan tersebut menjejaskan kedudukannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri mengambil tiga tindakan segera iaitu menggantung tugas Azam Baki sementara siasatan dijalankan, menyemak keseluruhan pemilikan hartanya, serta memastikan tiada penglibatan langsung atau tidak langsung dalam sebarang urus niaga membabitkan syarikat yang menerima kontrak kerajaan.
Rafizi berkata beliau menunggu maklum balas rasmi Perdana Menteri sebelum mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung perkara itu.








