KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan menjalankan penilaian awal terhadap prestasinya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bagi mengenal pasti kelemahan yang memerlukan perubahan dan penambahbaikan.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Majlis Setiausaha PH dijadualkan bermesyuarat minggu ini bagi membincangkan keputusan pilihan raya berkenaan serta langkah memperkukuh kesiapsiagaan parti.
Menurut beliau, PH mengambil iktibar daripada keputusan tersebut dan bersedia melakukan rombakan terhadap beberapa aspek, khususnya membabitkan keberkesanan jentera pilihan raya di peringkat akar umbi.
Antara perkara yang akan diberikan perhatian ialah tahap kesiapsiagaan jentera di kawasan luar bandar serta persediaan calon sepanjang tempoh kempen.
Fahmi menjelaskan, jentera PKR di kawasan bandar secara umumnya mempunyai tahap kesiapsiagaan yang lebih kukuh, namun maklum balas awal menunjukkan terdapat beberapa kawasan lain yang memerlukan penelitian lanjut.
“Ini satu pengalaman. Kita mengambil iktibar dan bermuhasabah atas apa yang berlaku.
“Pihak parti akan melakukan ‘post-mortem’ untuk mengenal pasti aspek yang perlu dirombak,” katanya.
Beliau turut mengakui terdapat pandangan awal mengenai tahap kesediaan jentera di lapangan, terutama di kawasan luar bandar, yang perlu dinilai secara menyeluruh.
Sehubungan itu, mesyuarat Majlis Setiausaha PH minggu ini dijangka menjadi platform awal untuk meneliti kelemahan yang dikenal pasti sebelum sebarang langkah penambahbaikan dilaksanakan.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sidang media Projek Rintis Sistem Keselamatan Warga Emas di Kuala Lumpur, pada Ahad.








