KUALA LUMPUR: Kecederaan trauma akibat objek tumpul di bahagian kepala dikenal pasti sebagai punca kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai dibunuh di sebuah dewan sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, kelmarin.
Menurut Berita Harian,Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, punca kematian itu disahkan menerusi proses bedah siasat oleh Pakar Patologi Forensik di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, semalam.
Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa siasatan berhubung kes berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh, telus dan profesional.
“PDRM turut memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen ‘cover-up’ atau melindungi mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan setakat ini berjalan lancar dan mendapat kerjasama penuh daripada pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan.
Dalam perkembangan sama, M Kumar berkata seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan pada 3 Oktober, iaitu pada hari kejadian.
Suspek kini direman selama enam hari bermula 4 hingga 9 Oktober selepas permohonan reman dibenarkan oleh majistret.
Kes berkenaan sedang disiasat secara terperinci oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.








