KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah memburukkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang menjalani hukuman penjara.
Sebaliknya, anaknya, Nooryana Najwa berkata, Najib terus menghormati institusi kerajaan serta proses undang-undang negara.
Menurutnya, bapanya lebih banyak bercakap mengenai UMNO, masalah parti serta perkara yang boleh dilakukan bagi memperkukuhkan parti berkenaan.
“Tak pernah. Tak pernah (burukkan kerajaan dan Anwar). Ayahanda hanya bercakap tentang UMNO dan UMNO sahaja.
“Pada dirinya, apa yang UMNO lakukan dalam kerajaan sekarang ini diakui ada peranan yang sangat penting dalam membentuk dasar-dasar negara.
“Ayahanda jelaskan, ia perlu dikekalkan. Tetapi tiada pula dia ulas tentang PH atau perkara lain termasuk Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.
Nooryana Najwa berkata, Najib sebagai seorang party man dan statesman berpandangan perkara yang baik perlu diteruskan.
“Beliau seorang party man, statesman, jadi bagi beliau apa yang baik itu perlu diteruskan.
“Tetapi ada juga dasar-dasar yang beliau rasa boleh ditambah baik, ayahanda akan berkongsi pandangan beliau juga,” katanya.








