PASIR GUDANG – Kerajaan Persekutuan tidak bertindak sewenang-wenangnya dalam urusan pemberian kewangan kepada negeri-negeri kerana segala proses berkenaan berpandukan undang-undang bertulis serta Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Kerajaan Madani yang mentadbir negara ketika ini melaksanakan urusan pemberian kewangan kepada semua negeri termasuk Johor berdasarkan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, di bawah Perkara 109(1) Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan diwajibkan memberikan kepada setiap negeri suatu pemberian tahunan yang dikenali sebagai pemberian ikut kepala berdasarkan peruntukan Bahagian I Jadual Kesepuluh.
“Manakala di bawah Perkara 110(1), setiap negeri hendaklah menerima segala hasil daripada cukai, fi dan sumber hasil lain seperti yang dinyatakan dalam Bahagian III Jadual Kesepuluh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sekiranya mana-mana kerajaan negeri tidak berpuas hati berhubung perkara tersebut, Perlembagaan Persekutuan turut menyediakan saluran undang-undang bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Katanya, perkara itu boleh dirujuk kepada Majlis Kewangan Negara yang menjadi kewajipan Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 108(4) untuk berunding berhubung pemberian yang dibuat kepada negeri-negeri.
“Berdasarkan peruntukan undang-undang bertulis yang sedia ada ini, maka mana-mana Kerajaan Negeri Johor yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri Johor pada 11 Jun 2026 bolehlah membawa isu pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Negeri Johor yang dipertikaikan, jika ada, kepada Majlis Kewangan Negara,” katanya.








