Seorang pengadu membangkitkan isu sebuah binaan yang didakwa diletakkan di laluan tangga di Apartment Desa Tanjung Puchong.
Berdasarkan perkongsian yang dimuat naik, pengadu mendakwa tangga berkenaan merupakan laluan keluar masuk penduduk, selain masih terdapat unit kediaman yang dihuni di bahagian atas.
Menurutnya, keadaan itu boleh menimbulkan risiko keselamatan, terutama jika warga emas atau kanak-kanak melalui tangga tersebut lalu tergelincir dan terlanggar binaan berkenaan.
Dia turut membangkitkan kemungkinan penduduk yang membawa barangan besar seperti tilam atau meja boleh terlanggar objek itu sehingga menyebabkan kerosakan.
Pengadu berkata situasi sedemikian berpotensi menjadi punca pertelingkahan, sambil menambah bahawa masalah besar kadangkala bermula daripada perkara kecil yang tidak difikirkan dengan pertimbangan sewajarnya.
Dalam perkongsian tersebut, dia turut mendakwa perbuatan sedemikian menunjukkan kurangnya adab, selain menyifatkan individu yang beradab tidak akan bertindak sedemikian.
Justeru, katanya, jika benar mahu memperkatakan soal keharmonian masyarakat, ia perlu dimulakan dengan menghormati ruang bersama dan kemudahan yang digunakan orang lain.
“Kerana hakikatnya, asas menjaga keharmonian bermula dari perkara paling dekat seperti jiran dan persekitaran kita sendiri.
“Dan semuanya itu sebenarnya bermula daripada satu tempat sahaja, iaitu didikan dari rumah,” katanya.








