SEPANG: Seorang pengerusi sebuah kuil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas didakwa menceroboh tanah persendirian milik individu lain di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil pada 19 Jun 2025.
Tertuduh, M. Paramaguru, 49, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Mengikut pertuduhan, Paramaguru didakwa menceroboh dengan memasuki kawasan tanah milik Datuk Suhaili Ahmad, 70, tanpa kebenaran kira-kira jam 4.45 petang pada tarikh berkenaan. Perbuatan itu didakwa sebagai kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi membolehkan tertuduh dibebaskan sementara menunggu tarikh sebutan seterusnya.
Namun, peguam Darshela Hari Raja, yang mewakili Paramaguru, memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan perlu menyara isteri serta dua anaknya, termasuk seorang bayi berusia 11 bulan dan seorang lagi berusia enam tahun.
Majistret akhirnya membenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.
Sebelum ini, dilaporkan pemilik tanah berkenaan telah memberi tempoh seminggu kepada pihak pengurusan kuil untuk mengosongkan tanah yang diduduki secara didakwa tanpa izin, walaupun berlaku perselisihan berkenaan status struktur yang dibina di atas tanah tersebut. – Sinar Harian








